Salam semua,
Era globalisasi dalam abad ini menuntut
pelajar supaya berdaya saing, bijak berkomunikasi serta mempunyai kemahiran
menyelesaikan masalah. Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), Kaedah
Pembelajaran Berasaskan Masalah (KPBM) dan kemahiran generik perlu dijana di
peringkat sekolah lagi untuk membentuk insan berketrampilan agar dapat memenuhi
pasaran pekerjaan samada di dalam atau luar negara.
Pada tahun 2019 Malaysia berjaya
memperbaiki pencapaiannya dalam Trends in International Mathematics and Science
Study (TIMSS) apabila julung kalinya memperolehi skor melebihi 700 (aras
tertinggi) dalam subjek matematik dan sains iaitu 25 paperTIMSS dan 65 eTIMSS
untuk subjek matematik manakala 13 paperTIMSS dan 23 eTIMSS untuk subjek sains.
Skor purata subjek matematik untuk paperTIMSS meningkat lapan mata kepada 473
(aras rendah) berbanding dengan tahun 2015 tetapi menurun empat mata kepada 461
(aras rendah) untuk eTIMSS. Skor purata subjek sains menurun dua mata kepada 469
(aras rendah) berbanding dengan tahun 2015. Skala pencapaian TIMSS 2019 bagi
sains dan matematik ditetapkan kepada aras tertinggi dengan skor 625, aras
tinggi (550), aras sederhana (475) dan aras rendah (400).
Kajian TIMSS 2019
dilaksanakan dari 16 Oktober hingga 1 November 2018 membabitkan 1,560 pelajar
tingkatan dua bagi paperTIMSIS dan 8,077 pelajar tingkatan dua bagi eTIMSS
(Star online, 9 Disember 2020).
Hasil dapatan TIMSS 2019 digunakan
sebagai panduan untuk merumus strategi menambah baik pelbagai program dan
initiatif oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan mengambil kira
kejayaan pelajar di pelbagai peringkat serta teknik dan kaedah penyampaian guru
dalam bilik darjah (Star online, 9 Disember 2020). KPM berhasrat untuk meletakkan
Malaysia dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa
seperti TIMSS dalam tempoh lima belas tahun akan datang (Buletin Transformasi
Pendidikan Malaysia 2015).
Bentuk soalan dalam ujian TIMSS bagi subjek
matematik dan sains lebih tertumpu kepada penyelesaian masalah yang memerlukan
KBAT seperti menganalisis, menilai dan mensintesis dan bukan sekadar mengaplikasi
(Zuriawahida 2016). Justeru itu anjakan pertama dalam Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 adalah untuk meningkatkan kualiti
pendidikan Malaysia bertaraf dunia dengan merombak semula sistem
peperiksaan dan penilaian bagi memberi tumpuan terhadap KBAT (Zuriawahida
2016).
Projek penyelidikan “Computer Algebra
System - Critical Thinking” (CAS - CT) ini bertujuan untuk meningkatkan KBAT
dengan memfokus kepada pemikiran kritis melalui KPBM dengan mengguna pakej
simbolik berasaskan teknologi Sistem Algebra Komputer (SAK). Pakej simbolik ini
dinamakan sebagai i-phys 2.0 yang merupakan kesinambungan dan peningkatan
terhadap pakej simbolik i-phys (Hazlina 2014). Fokus bidang pembelajaran i-phys
2.0 ialah fizik (Daya dan Gerakan) untuk pelajar tingkatan empat di Malaysia.
Model
pembelajaran yang digunakan untuk membangun i-phys 2.0 ini ialah Taksonomi
Bloom (rujuk Rajah 1). Satu pendekatan pembelajaran baharu juga diperkenalkan untuk
menyokong pemikiran kritis dengan menggunakan ciri-ciri konsep pedagogi SAK
iaitu interaktiviti, visualisasi, eksperimentasi, teknik langkah demi langkah
dan kepelbagaian perwakilan.
Pakej pembelajaran berintegrasikan SAK amat
bersesuaian untuk memahami masalah fizik kerana berupaya mempamer masalah
matematik dalam bentuk simbolik, mempersembah dalam bentuk grafik 3D, animasi,
simulasi dan memplot graf dengan amat jelas dan menarik (Radian dan Alexandra
2009).
Penerapan ciri-ciri konsep pedagogi SAK dalam pemahaman konsep fizik
adalah amat wajar kerana menurut Yuzita (2007, 2010) ciri-ciri tersebut
menyediakan kepelbagaian perwakilan (i.e., animasi, simulasi, grafik, numerik
dan simbolik) hasil daripada pelbagai nilai input daripada eksperimentasi dan
eksplorasi yang dijalankan oleh pelajar. Hal tersebut penting kerana secara
tidak langsung dapat membantu dalam proses perkembangan kognitif pelajar untuk
berfikir secara lebih kritis dalam memahami sesuatu konsep fizik.
Rajah 1:
** 👆Pendidikn di msia utk jd spt dlm gambr di atas tu...ntah bila ye...😊
** 👇Kaedah Pendidikan Berasaskan Masalah (KPBM) memotivasi perbincangan dalam kumpulan (spt gambar di bawah) yang berupaya menjana kemahiran generik. Teknologi SAK amat wajar diguna oleh para pelajar dlm menyelesaikan sesuatu masalah secara berkumpulan kerana teknologi tersebut memudahkan eksplorasi dan eksperimentasi dijalankan. Ini secara langsung dpt meningkatkan pemikiran kritis.
Yuzita ❤️🌹😊