Tuesday, August 10, 2010

Kembalilah...

Salam to all,

Bulan Ramadan (Puasa) menyediakan peluang keemasan mendekatkan diri kepada Allah swt semata-mata untuk mendapat keredhaanNya. Allah swt sendiri berjanji untuk membalas pahala puasa.

 "Setiap amalan anak Adam untuk satu kebaikan bersamaan sepuluh hingga tujuh puluh kali ganda. Firman Allah swt: "Kecuali puasa. Ia adalah untuk Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya. Dia meninggalkan makanannya kerana Ku. Dia meninggalkan minumannya kerana Ku..."" (Bukhari&Muslim). 

Sudah pasti rugilah sesiapa yang berada dalam bulan Ramadan tetapi amalannya masih tetap tidak berbeza dengan bulan-bulan lain. Allah swt menghadiahkan bulan Ramadan agar kita dapat mengumpul sebanyak mungkin bekalan untuk menghadapi hari akhirat dan sebaik-baik bekalan adalah taqwa. Firman Allah swt: "...berbekallah dan sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa." (Quran 2:185). 

Menurut Ali bin Abi Talib radiallahuanhu (ra): Taqwa ialah (i) takut kepada Allah swt, (ii) beramal dengan isi kandungan Quran, (iii) redha dengan apa yang ada pada diri dan (iv) bersiap sedia untuk bertemu dengan Allah swt.
Bulan Ramadan adalah masa yang paling sesuai untuk meningkatkan bekalan taqwa. 

Antara kelebihan yang dikurniakan oleh Allah swt pada bulan ini ialah pahala yang diperolehi berlipat-ganda, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan malam lailatulqadar. Sememangnya Ramadan disediakan oleh Allah swt untuk kita meraih keuntungan semaksima mungkin untuk dibawa kepadaNya diakhirat kelak. Oleh itu, rebutlah peluang ini dengan pelbagai amal soleh selain daripada berpuasa seperti solat tarawih, membaca, menghayati & mengamalkan Quran, bersedeqah, berdoa, qiyamulail, menghadiri majlis ilmu dan merapatkan siratulrahim. 

Berkorbanlah masa, tenaga dan harta pada bulan ini untuk mendapat keredhaan Allah swt. Berazamlah agar bulan ini menjadi bulan yang sepenuhnya ditujukan kepada Allah swt untuk kita kembali dengan sebenar-benarnya kepadaNya. 

Janganlah kita berpuasa perut semata-mata sedangkan lidah, mata, telinga, hati dan anggota badan yang lain tidak berpuasa. Misalannya, mata masih melihat perkara yang haram, lidah masih berbohong, mengumpat dan bermegah-megah, telinga masih mendengar hiburan yang tidak berfaedah dan hati dipenuhi dengan hasad dengki dan dendam kesumat.

Rasulallah s.a.w. berpesan: "Puasa adalah perisai (pelindung) daripada maksiat dan dosa di dunia dan neraka di akhirat. Ia adalah perisai seperti perisai dalam peperangan. Apabila seseorang kamu berpuasa, maka janganlah bercakap lucah dan berkelahi. Jika ada orang yang memaki atau mengutuknya, maka hendaklah dia mengatakan: "Saya sedang berpuasa (2X)"" (Bukhari&Muslim).
Puasa mengajar kita kejahatan tidak boleh dihadapi dengan kejahatan. Kejahatan hendaklah dibalasi dengan kebaikan. 

Seseorang itu hendaklah memperbanyakkan sabar ketika berpuasa. Bahkan orang yang berpuasa itu hendaklah sentiasa berhati-hati memelihara kesemua anggota badannya seperti sabda rasulallah s.a.w. : "Barangkali ada orang yang berpuasa, tiada ia perolehi daripada puasanya melainkan lapar" (Ibn Majah).
Oleh itu peliharalah keseluruh anggota badan agar tidak melakukan perkara yang Allah swt murkai. Berusahalah membersihkan diri dalam bulan yang mulia ini. 

Hidupkanlah bulan ini dengan membaca, menghayati & mengamalkan Quran. Satu huruf Quran yang dibaca beroleh sepuluh kebaikan. Cuba bayangkan sekiranya kita mengamalkan ayat-ayat Quran yang dibaca? Sudah tentu pahala yang diperolehi berlipat kali ganda.

Kerjakanlah juga solat tarawih dengan khusyuk, tenang dan bersungguh-sungguh agar dapat merasai kehadiran Allah swt dalam hati. Kita inginkan solat yang diterima oleh Allah swt. Kita inginkan agar keluar daripada bulan ini dengan memperolehi keampunan dan rahmat daripada Allah swt serta terselamat daripada api neraka. 

Ketuklah pintu Allah swt untuk bertaubat dan kembali kepadaNya dengan penuh harap dan takut tidak diterima olehNya. Inilah masanya untuk kembali kepadaNya. Kalau tidak, bila lagi???...🙂

Rujukan: 
Kelebihan bulan Ramadan oleh Yusuf AlQardawi. Penerbit: Salafi, Kuala Lumpur. 

Nota: 
Semoga segala amal soleh yang dilakukan pada bulan Ramadan akan tetap berterusan (istiqamah) sehingga kita bertemu dengan Allah swt. Ameen.

Yuzita

Tuesday, April 13, 2010

'Ainul Yaqeen

Salam to all,

Kita sememangnya mengetahui setiap perbuatan kita dilihat oleh Allah subhanawata'ala (swt). Persoalannya: Mengapa kita masih kerap berakhlaq buruk seperti berbohong, hasad dengki, mementing diri sendiri, mengumpat, gila puji, gila pangkat dan gila harta, walau pun kita mengetahui sifat Allah swt yang Maha Melihat ini? Jawabnya ialah kita masih lagi belum mengenali Allah swt dengan erti kata yang sebenarnya iaitu mengenali Allah dengan hati (i.e., 'Ainul Yaqeen). 

Tugas mengenali Allah swt terletak pada hati atau roh. Sebelum roh dimasukkan oleh Allah swt ke dalam jasad manusia, roh sudah mengenali Allah swt: "(Wahai roh) Bukankah Aku ini Tuhan kamu? Mereka menjawab: Ya! Kami naik saksi bahawa Kamu adalah tuhan kami" (Quran: Al-A'raf-172). Tetapi apabila roh berada dalam jasad manusia, ia mulai "kabur" daripada mengenali Allah. Ini ialah kerana ia telah dipengaruhi oleh pelbagai elemen negatif seperti persekitaran, penyakit hati, dsb. Hati yang "kabur" (kotor) tidak begitu dapat mengenali Allah lagi...

Allah swt mengurniakan akal kepada manusia untuk kembali mengenaliNya (i.e., 'Ilmul Yaqeen) iaitu seperti mempelajari sifat-sifat Allah swt (i.e., wujud, qidam, baqa',...) dan bertafakkur memikirkan ciptaanNya. Walau bagaimana pun, ini masih tidak memadai untuk mengenali Allah swt dengan sebenarnya. Kita perlu berusaha meningkat keimanan untuk mengenali Allah swt dengan hati (roh) pula (i.e., 'Ainul Yaqeen). Ini diperolehi dengan bermujahadah melawan hawa nafsu & syaitan, melaksana semua ibadah yang wajib seperti solat dan puasa, amalan sunat, berdoa, berzikir, membaca Quran dan sebagainya, sehingga "Allah dekat di hati". Hasilnya terpancarlah akhlaq mulia seperti sabar, redha, sentiasa tersenyum, syukur, zuhud, tawakkal, pemaaf dan tidak gentar berhadapan dengan ujian. Sifat-sifat ini membentuk peribadi insan yang cantik, hebat dan dikagumi.

Imam Ghazali rahimahullahuta'ala berpesan agar kita memperbanyakkan amalan yang memberi impak kepada hati. Contohnya, jika dengan membaca "subhanallah" menjadikan kita bertambah dekat dengan Allah swt, bacalah ia sebanyak mungkin. Ini adalah kerana tujuan amalan seperti solat sunat, berzikir dan menghafal ayat-ayat Quran (untuk sesuatu fadhilat) adalah semata-mata untuk mengingati Allah swt di dalam hati kita. Di sisi Allah, kualiti amalan amat penting. Oleh itu, laksanakanlah dengan bersungguh-sungguh, penuh kefahaman dan kusyuk. 

Apabila hati mengingati Allah swt dengan sebenar-benarnya, ia akan mendorong kita melaksana segala perentahNya dan menjauhi laranganNya. Hasil daripada bermujahadah melawan nafsu & syaitan dan mengerjakan amalan yang memberi impak kepada hati, kita berjaya mengangkat pengenalan kita dengan Allah swt kepada peringkat 'Ainul Yaqeen. Pada masa itu, kita telah menjadi Muslim yang soleh, inshaAllah.
Rujukan: 
Sifat 20: Awaluddin Ma'rifatullah oleh Ustaz Salehuddin Al Jawiy. 
Terbitan Perniagaan Jahabersa, Malaysia. 

Gambar di atas :
Wan 'Ainul Yaqeen (my daughter) & friends. 

To Yaqeen cayang bucuk mama, ingat pesan mama...

Yuzita