Saturday, January 16, 2021

I-PHYS 2.0

Salam semua,

Objektif kajian ini ialah untuk meningkatkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) (pemikiran kritis) dengan menggunakan pakej simbolik (dinamakan sebagai i-phys 2.0) yang  diintegrasi dengan teknologi Sistem Algebra Komputer (SAK) melalui Kaedah Pembelajaran  Berasaskan Masalah (KPBM). Fokus bidang pembelajaran i-phys 2.0 ialah fizik (Daya dan  Gerakan) untuk pelajar tingkatan 4 di Malaysia. 

Reka bentuk pembangunan i-phys 2.0 adalah  berdasarkan konsep pedagogi SAK iaitu interaktiviti, visualisasi, eksperimentasi, teknik  langkah demi langkah, kepelbagaian perwakilan dan prinsip kotak putih/kotak hitam. Model  pembelajaran yang digunakan untuk membangun i-phys 2.0 ialah Taksonomi Bloom. Reka  bentuk i-phys 2.0 adalah berasaskan web yang mana pembelajaran boleh dilakukan secara  atas talian. 

Kaedah Pembelajaran Berasaskan Masalah (KPBM) juga diaplikasi dengan menggunakan i-phys 2.0 melalui gerak kerja secara berpasukan untuk mengasah kebolehan pelajar mengkritik sesuatu pendapat, mengemuka idea yang bernas dan memberi cadangan  yang relevan dalam menyelesai masalah. Ini ialah kerana kehendak pasaran masa kini bukan sahaja memerlukan pekerja yang memiliki kelulusan akedemik cemerlang tetapi memiliki kemahiran generik seperti mampu berfikir secara kritis, berupaya menyelesai masalah secara  berpasukan, sentiasa berfikiran positif dan memiliki ciri-ciri kepimpinan.

Penguasaan numerasi dan literasi saintifik melalui penggunaan i-phys 2.0 menyediakan asas kukuh untuk membangun pelbagai kemahiran dalam kehidupan pelajar bagi merebut peluang dalam dunia pekerjaan terutamanya bidang berkaitan dengan STEM. I-phys2.0 juga bertujuan memupuk perasaan keyakinan dalam diri pelajar untuk seronok belajar dan mengekalkan keinginan  yang kuat untuk terus belajar terutamanya dalam dunia pekerjaan. 

Pengujian kebolehgunaan i-phys 2.0 dijalankan berdasar kepada atribut keberkesanan, kebolehbelajaran dan kepuasan.  Setiap atribut kebolehgunaan ini mengandungi kriteria kebolehgunaan iaitu ciri-ciri konsep  pedagogi SAK. I-phys 2.0 merupakan kesinambungan dan  peningkatan terhadap i-phys yang dibina oleh Hazlina (2014).

https://youtu.be/-DVecgNBPgM

*** Kajian di atas sedang dijalankan oleh Khairina Atika Zawawi (bakal pelajar phd inshaAllah).


Yuzita