Friday, November 20, 2009

Do'a

Salam to all,

Berbahagialah suatu masyarakat bila anggota-anggotanya sentiasa dapat merasakan dalam suka dan dukanya akan kehadiran Ilahi Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, tempat mereka meminta petunjuk bila jalan tidak nampak, sebaik-baiknya tempat berlindung dari segala macam bentuk kepayahan, iaitu masyarakat yang sentiasa memelihara erat hubungannya dengan Allah subhanawataala (swt), di mana zikir dan do'a menjadi salah satu tali penghubung yang kuat, di samping solat, zakat dan haji.

Namun ada pula rasanya di mana seruan tidak bersahut, do'a tidak berjawab? Mengapa gerangan permohonan kita tidak makbul, rintihan jiwa kita tidak didengarkan? Seakan-akan Allah swt. telah meninggalkan kita? Di mana gerangan letak sebabnya?... Untuk jawabnya, marilah kita perhatikan peringatan Rasulullah s.a.w.: "Wahai manusia! Sesungguhnya Allah swt. berfirman kepadamu: Anjurkanlah olehmu berbuat baik dan laranglah perbuatan yang munkar, agar jangan datang suatu sa'at, di mana kamu berdo'a tetapi Aku tidak menjawab do'amu; kamu meminta tetapi Aku tidak kabulkan; kamu memohon pertolongan tetapi Aku tidak memberimu pertolongan." 

Itulah jawabnya! Itulah yang menyebabkan pintu do'a tertutup. Bukan kerana melalaikan hubungan dengan Allah secara konvensional seperti solat, zakat dan sebagainya, akan tetapi kerana meremehkan hubungan sesama manusia, sebagai anggota masyarakat yang turut bertanggungjawab atas keselamatan hidup bermasyarakat itu sendiri. Yakni tugas: "Menegakkan kebajikan, membenteras kemunkaran" ("Amar Ma'ruf & Nahi Munkar"). Inilah identiti bagi keperibadian Umat Islam, iaitu sentiasa menjaga keselarasan hubungan dengan Allah dan hubungan dengan umat sesamanya. 

Semoga do'a kita sentiasa berjawab. Ameen...

(Petikan daripada penulisan Allahyarham Dr. Mohammad Natsir (1908-1993) (gambar di atas) pada 10 November 1984. Rujukan: Do'a dan dzikir rasulullah saw., Imam Hasan Al-Banna, Penerbit: Media Da'wah, Jakarta, Indonesia, 2006)

Nota: Ketika M. Natsir meninggal dunia, mantan Perdana Menteri Jepun Takeo Fukuda menyatakan, "berita duka tersebut terasa lebih dahsyat daripada jatuhnya bom atom di Hiroshima, kerana kita kehilangan pemimpin dunia dan pemikir besar dunia Islam."

Yuzita

1 comment: