Friday, September 18, 2009

Mengapa "Mimie Asieyah" ?

Salam to all,

Ramai yang bertanya kepada saya mengapa memberi nama kucing kesayangan kami "Mimie Asieyah"? "Mimie" adalah nama yang diberi oleh tuan terdahulu dan "Asieyah" diberi oleh saya sendiri sempena seorang wanita agong bernama Asieyah binti Muzahim yang hidup di zaman Nabi Musa a.s. ... 

Asieyah ialah isteri kepada Firaun, raja Mesir yang amat berkuasa dan kaya raya. Allah swt memberi penghormatan yang amat tinggi kepada Asieyah dengan mengukir namanya dalam Quran untuk menjadi contoh tauladan kepada umat manusia terutamanya kaum wanita. Ini ialah kerana kesabaran beliau yang tetap teguh (istiqamah) mentauhidkan Allah walau pun menghadapi pelbagai tekanan dan kezaliman. Meski pun hidup dalam istana diselubungi kemewahan, beliau tidak sedikit pun tertarik atau lalai dengannya. Malahan beliau menyedari segalanya adalah nikmat sementara, dan kemuliaan hakiki dan kehormatan mutlak hanyalah terletak di sisi Allah swt.

Apabila suaminya membuat pengakuan bahawa beliau adalah tuhan semesta alam, Asieyah telah menolak mentah-mentah. Betapa pun besar kecintaan dan kepatuhannya kepada suami, beliau tetap berpegang teguh bahawa tuhan yang patut disembah hanyalah Allah yang Maha Esa. Sikapnya membuatkan Firaun terus menerus memberi tekanan dan ancaman memaksa beliau meninggalkan keyakinannya itu tetapi beliau tidak gentar walau sedikit pun. 

Perilaku buruk suaminya dihadapi dengan penuh kesabaran dan hanya berpasrah kepada Allah swt. Untuk memaksa Asieyah mengakui ketuhanannya, Firaun telah mencampakkan Masyitah (hamba kesayangan Asieyah) dan keluarganya ke dalam minyak panas tanpa belas kasihan. "Aku harap kamu telah menyaksikan apa yang telah terjadi ke atas perempuan yang ingkar kepada aku, tuhannya yang agong", kata Firaun kepada Asieyah. Dengan linangan air mata Asieyah menjawab: "Celakalah engkau wahai Firaun dengan azab Allah". Kata-kata tersebut membuat Firaun marah dan memerentahkan Asieyah disiksa dengan siksaan yang amat berat sehingga beliau meninggalkan pegangannya itu. 

Dengan hati yang sedih dan pilu terhadap perbuatan suaminya sendiri, beliau telah mengadu kepada Allah swt seperti yang diabadi di dalam Quran: "Ya tuhanku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisiMu di dalam syurga dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan perbuatannya, dan selamatkan aku daripada kaum yang zalim (At-Tahrim: 11). Allah swt yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang telah memakbulkan doa' Asieyah dan memperlihatkan sebuah istana untuk beliau di syurga sebelum beliau terbunuh syahid. 

Mimie Asieyah dapat mengingatkan saya kepada Asieyah binti Muzahim, seorang permaisuri yang lemah lembut, cantik, cerdik, tegas, berani dan hidup dengan penuh kenikmatan di dalam istana tetapi sanggup meninggalkan kesemuanya itu semata-mata untuk mencari keredhaan Allah swt. Betapa pun besar kecintaan terhadap suami tetapi ternyata di hati beliau tersemat kecintaan yang lebih agong yang tiada tolok bandingnya terhadap Allah swt sehinggalah beliau menutup mata buat kali terakhir...

Yuzita